Warisan Islam di Kota Beijing
Beijing, kota yang terkenal dengan tembok besarnya dan sejarah dinasti yang panjang, menyimpan satu permata tersembunyi yang sangat istimewa.
Niujie Street, terletak di Daerah Xicheng, kawasan ini merupakan pusat komuniti Muslim Hui terbesar di ibu kota China. Lawatan aku ke sini bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi satu pengalaman budaya dan rohani yang mendalam.

Langkah pertama aku membawa aku ke Masjid Niujie, masjid tertua di Beijing yang dibina sejak tahun 996 M. Seni binanya memukau dengan gabungan gaya tradisional Cina dengan elemen Islam yang unik. Ukiran kayu yang rumit, atap melengkung, dan suasana tenang menjadikan masjid ini tempat yang sangat istimewa.

Tapi malangnya ketika ini masjid ini tidak dapat dilawati kerana dalam proses penambahbaikan. Aku hanya mampu mengambil gambar dari luar untuk dikongsikan.

Niujie Street juga terkenal sebagai syurga makanan halal. Deretan restoran dan gerai yang memenuhi sebahagian jalan di sini menawarkan pelbagai hidangan yang memikat selera.


Laku keras jualan mereka di sini, kita terpaksa untuk berbaris panjang untuk mendapatkan makanan yang hendak dibeli.



Kebanyakan mereka di sini tidak memilih tempat untuk menikmati makanan yang telah dibeli, malah ada yang berbaris semula untuk membelinya lagi.


Niujie Street bukan sekadar destinasi pelancongan halal ia adalah tempat di mana sejarah, budaya, dan spiritualiti bertemu. Bagi aku, ia adalah pengalaman yang membuka mata dan hati, mengingatkan bahawa di tengah kemodenan, masih wujud tempat yang memelihara nilai-nilai murni dan warisan Islam.